CERITERA


Selama empat belas minggu saya menjalani latihan mengajar di SMK Seri Manjung, pelbagai pengalaman yang telah saya dapat. Baik, buruk, pahit manis telah saya hadapi dan jalani dengan redhanya. Pada tangga 14 Julai 2014 saya telah melaporkan diri sebagai guru pelatih di sekolah tersebut. Pelbagai rasa yang saya alami. Debaran untuk bertemu dengan pentadbir sekolah saya rasai. Setelah bertemu dengan beliau saya telah mendapat jadual waktu untuk mengajar selama empat belas minggu di sekolah tersebut. Saya telah diamanahkan untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Saya telah ditugaskan untuk mengajar tingkatan 4V1 dan 4K1. Untuk makluman kelas tersebut merupakan kelas yang keempat dan keenam daripada lapan kelas. Pelbagai cabaran dan dugaan yang telah saya terima dan hadapi. Namun begitu, ianya tidak mematahkan semangat saya sebagai seorang guru pelatih untuk mendidik mereka dengan penuh kesabaran. Sepanjang di sana, saya telah mendapat seorang guru pembimbing yang baik dan tegas dalam berurusan dengan beliau. Pelbagai ilmu yang telah saya dapat daripada beliau yang telah lama berkhidmat di sekolah tersebut.

Sepanjang menjalani latihan mengajar, saya juga telah terlibat dalam organisasi sekolah seperti mengambil bahagian dan diamanahkan untuk membantu dan menjalankan aktiviti yang telah diaturkan oleh sekolah. Antaranya ialah sebagai guru pengiring dan urusetia pelaporan puisi dan lagu peringkat negeri Perak. Di sini  saya belajar cara menyediakan laporan untuk di hantar kepada Pejabat Pelajaran Daerah Manjung. Selain itu, saya juga telah memegang jawatan guru kelab kompang. Di sini saya diajar untuk mengira mata merit kokurikulum para pelajar terutamanya pelajar tingkatan lima. Seterusnya, sebagai seorang guru pelatih aku menerima segala tugasan yang diberikan oleh pentadbir sekolah dan ianya memberi saya ilmu yang baru dalam dunia pendidikan. Oleh itu, saya merasakan diri saya sebagai guru pelatih memerlukan ilmu yang baik dalam mentadbir dunia pendidikan ini.

Dalam proses pembelajaran dan pengajaran pula, saya berasa agak bertuah ditempatkan dan diterima di SMK Seri Manjung kerana pengetua sekolah ini merupakan salah seorang pengetua cemerlang. Pelbagai nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan praktikum yang lain. Semasa penyeliaan berlangsung saya diminta oleh penyelia praktikum saya untuk menerapkan elemen efektif dalam pengajaran saya. Oleh itu, aspek kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis saya cuba terapkan  kepada pelajar  agar mereka dapat mempraktikan kemahiran kbkk dengan baik dan bijak.

Semasa penyeliaan kedua bersama penyelia, saya telah memilih tajuk pantun dan menggunakan model koperatif semasa mengajar. Saya telah membuat tiga aktiviti yang menggunakan aspek kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Antaranya ialah mendedahkan pelajar kepada kaedah berpantun dalam pantun meminang. Di sini pelajar ditugaskan untuk membuat aktiviti berbalas pantun dalam dua kelompak besar kumpulan dan mereka dikehendaki berbalas pantun antara satu sama lain. Aktiviti yang kedua ialah, saya telah mengadakan aktiviti menjawab pantun teka-teki secara individu. Saya telah meminta pelajar membuat pertandingan seperti penyampai radio dan pelajar dikehendaki menjawab pantun tersebut dengan baik dan tepat. Akhir sekali, pelajar diminta mencipta pantun berdasarkan tema yang diberikan dan menyanyikan pantun tersebut dengan kreatif.Secara keseluruhan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan teratur dan objektif yang dibuat adalah tercapai.

Selain itu, kemahiran secara kreatif dan kritis juga dapat ditunjukkan dalam penggunaan bahan bantu mengajar guru. Di sini dapat ditunjukkan aspek kreatif dan kritis dalam menjana idea pelajar untuk berfikir dengan baik. Guru haruslah bijak dalam memilih tajuk dan cara pengajaran serta membuat bahan bantu mengajar yang boleh membantu pelajar sepanjang pengajaran berlangsung. Dalam mengajar juga, aspek inovasi juga patut digunakan oleh guru agar dapat menarik peminat pelajar dalam pengajaran berlangsung. Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran, saya sebagai guru pelatih telah  membuat permainan bahasa iaitu menggunakan permainan roda impian, balingan dadu, dam ular dan banyak lagi. Aktiviti seperti ini dapat menceriakan kelas semasa pdp berjalan. Pelajar akan tertarik dan memfokuskan pelajaran dengan baik dan berterusan.

Kesimpulanya, latihan mengajar selama empat belas minggu ini membantu saya dan memberikan saya seribu pengalaman yang tidak pernah saya lalui sepanjang hidup saya. Segala tunjuk ajar dan bimbingan yang diberikan tidak dapat saya bayar dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Segala ilmu yang saya dapat akan dipraktikkan dalam dunia pendidikan akan yang datang. Di sini saya sertakan beberapa gambar semasa menjalani latihan mengajar.


BAHAN BANTU MENGAJAR KOMSAS



PERMAINAN BAHASA RODA IMPIAN



PERMAINAN BAHASA DAM


SEBAHAGIAN PELAJAR SEMASA PDP BERLANGSUNG




PELAJAR MENJALANKAN AKTIVITI





PELAJAR 4V1










Tiada ulasan:

Catat Ulasan